World Breastfeeding Week 2019 from 1-8 August 2019 - Ceritera Ibu

World Breastfeeding Week 2019 from 1-8 August 2019


World Breastfeeding Week 2019 from 1-8 August 2019 | MALAYSIA – Bersempena Minggu Penyusuan Badan Dunia 2019, Royal Philips (NYSE:PHG, AEX:PHIA), peneraju global dalam bidang teknologi kesihatan serta penjagaan ibu dan anak, telah menerbitkan data baharu yang mendedahkan kepentingan peranan yang boleh dimainkan pasangan dalam menyokong proses penyusuan badan. Sungguhpun secara semulajadi usaha itu kekal sebagai peranan ibu, namun demikian, mereka juga perlu mendapatkan sokongan daripada rangkaian insan terdekat di sekeliling mereka.

 

Kajian baharu Philips mendedahkan kepentingan penglibatan pasangan dalam menjayakan usaha penyusuan badan

·        Wanita yang menerima sokongan daripada pasangan lebih berkemungkinan untuk memulakan dan meneruskan penyusuan badan dengan lebih lama[1]

·        Memberi sokongan terhadap proses penyusuan badan merupakan salah satu cara terbaik dalam mengeratkan hubungan bapa-bayi, dan memberikan kesan bermanfaat berpanjangan yang dibawa bayi sehingga zaman dewasa

·        76% daripada kalangan ibu berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk lebih maklumat mengenai penglibatan pasangan dalam menyokong usaha penyusuan badan


[1] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4282396/

Penemuan kajian
Penemuan kajian[1] Philips Avent mendapati hampir semua ibu yang terlibat menginginkan pasangan mereka mengambil bahagian dalam setiap aspek penjagaan bayi mereka yang baru lahir. Sebanyak 65% daripada kaum ibu yang disoal selidik mahukan pasangan mereka membantu menyediakan botol susu, sementara 63% mahu sokongan dalam penyusuan bayi pada sebelah malam. Mujur, kebanyakan bapa (81%) mahu menghulurkan bantuan tetapi masih terdapat beberapa aspek di mana mereka didapati masih belum memberikan sokongan yang mencukupi. Sementara kebanyakan pasangan (82%) terlibat dalam menenangkan dan menjaga bayi, namun kurang daripada separuh (46%) membantu membersihkan pam badan dan botol susu untuk sesi penyusuan seterusnya. Selain itu, hanya 41% membuat kajian mengenai cara menyusukan bayi. Ini bermakna, masih terdapat sesetengah aspek penjagaan bayi baru lahir yang ditanggung oleh si ibu dan terdapat keperluan untuk mendidik pasangan dengan lebih menyeluruh.


Perkara ini digambarkan oleh penemuan kajian yang menunjukkan sebanyak 76% para ibu merasakan lebih banyak maklumat mengenai cara pasangan boleh memberi sokongan terhadap usaha penyusuan badan perlu disediakan. Dengan adanya bukti yang mencadangkan bahawa dengan mendidik bapa mengenai manfaat penyusuan badan, kita mampu menggandakan kemungkinan bayi disusukan secara eksklusif untuk enam bulan pertama kelahiran mereka, ini merupakan satu topik yang amat penting bagi ibu bapa baharu untuk dibincang dan dipertimbangkan[2].

Umum mengetahui tentang kebaikan kesihatan penyusuan badan bagi kedua-kedua ibu dan bayi. Namun demikian, di peringkat global, walaupun kadar memulakan penyusuan badan kekal tinggi (sekitar 60%-95%) tetapi angka tersebut menyusut dengan peredaran masa. Ini menyebabkan kadar penyusuan badan pada usia bayi 6 bulan lebih rendah[3]. Oleh itu, penyediaan sokongan berterusan kepada ibu-ibu yang menyusukan badan adalah amat penting, terutamanya dengan keadaan wanita yang sentiasa terhimpit dengan kekangan masa dan keperluan membahagikan masa di antara pengurusan anak-anak dan kerjaya mereka. Pasangan wanita-wanita ini boleh memainkan peranan aktif dalam proses penyusuan badan dan mujur, ramai di antara golongan bapa menyatakan bahawa mereka ingin membantu.


“Kepentingan penyusuan badan tidak boleh dipandang ringan. Kaum keluarga, rakan-rakan dan profesional penjagaan kesihatan boleh memainkan peranan positif dalam memberi galakan dan mempromosikan penyusuan badan. Kajian telah menunjukkan bahawa wanita yang menerima sokongan daripada pasangan mereka lebih berkemungkinan memulakan dan meneruskan usaha menyusukan anak untuk jangka lebih panjang, manakala kehadiran pasangan semasa penyusuan badan menunjukkan peningkatan dalam jalinan ikatan antara mereka dengan bayi selepas kelahiran. Bayi yang baru dilahirkan juga menerima manfaat melalui pengurangan kelewatan perkembangan kognitif dan pertambahan berat badan,” kata Muhammad Ali Jaleel, Pengurus Negara, Ketua Kesihatan Peribadi dan Sistem Kesihatan, Philips Malaysia.

“Peranan bapa telah berubah sejak beberapa dekad lalu,” ujar Prof Dr Michael Abou-Dakn, Ketua Perubatan Ginekologi di Hospital St Joseph, Berlin yang juga merupakan pakar dalam bidang hubungan bapa-bayi. “Kaum lelaki hari ini lebih sanggup melibatkan diri dalam proses penjagaan anak. Bukan hanya kehadiran mereka ketika proses kelahiran semakin meningkat, tetapi mereka juga melaksanakan pelbagai tugasan berkaitan penjagaan anak. Ini termasuk menyokong proses penyusuan badan, yang memberikan manfaat besar dalam pengukuhan ikatan bapa-bayi, selain mempunyai manfaat berpanjangan yang akan dibawa bayi sepanjang hidup mereka,” katanya.

Pandangan warga kerja Philips Malaysia seiring dengan pendapat global
Satu tinjauan ringkas yang melibatkan 24 kakitangan di Philips Malaysia turut mendapati bahawa ibu-ibu yang disoal selidik mahu agar pasangan mereka terlibat penuh dalam penjagaan bayi dengan 71% daripada para ibu menginginkan bantuan dalam penyusuan bayi pada sebelah malam, manakala bilangan sama (71%) juga mahukan bantuan dalam pembersihan dan penyediaan peralatan penyusuan seperti pam badan. Seperti juga ibu bapa yand ditinjau di seluruh dunia, kebanyakan bapa (75%) ingin membantu, di mana sokongan yang mereka berikan mencapai purata penilaian 87 daripada 100 daripada responden tempatan. Pada masa yang sama, keinginan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan cara pasangan dapat menyokong ibu yang menyusukan badan kekal kukuh dengan 78% daripada responden menyatakan keinginan tersebut.


Memahami cabaran penyusuan badan bagi kedua-dua ibu bapa, Philips komited dalam perkongsian pengetahuan dan penyediaan solusi yang menyokong proses berkenaan bagi semua pihak terlibat. Dengan pengalaman bekerja rapat bersama profesional kesihatan dan ibu bapa selama 35 tahun, Philips memahami para ibu dan bayi serta amalan penyusuan sihat dan fisiologi secara mendalam. Kajian menggunakan teknologi ultrasound untuk menggambarkan dan merekod bayi serta ibu yang menyusukan badan telah membolehkan Philips membentuk solusi yang meniru fisiologi payudara dan refleks semulajadi bayi ketika menyusu. Pengetahuan mendalam ini juga membenarkan Philips sama-sama membentuk solusi dan berkongsi kepakaran mereka dengan komuniti ibu bapa dan penjaga kesihatan secara meluas, dan telah berjaya mendidik dan menyampaikan pengetahuan kepada ibu bapa mengenai penyusuan badan. Dengan membantu ibu bapa menghadapi setiap cabaran dengan penuh yakin, Philips berharap untuk menggalakkan usaha penyusuan badan bagi tempoh yang lebih lama. 



[1] Angka yang dinyatakan telah diambil daripada tinjauan Philips Avent terhadap penglibatan kaum bapa dalam penyusuan badan dalam kalangan 3,500 pengguna aplikasi Pregnancy+ di seluruh dunia pada bulan Jun 2019
[2] Effectiveness of targeting fathers for breastfeeding promotion: systematic review and meta-analysis, 2018
[3] WHO, UNICEF, 2017, 2018 , CDC, 2018, Theurich et al. JPGN, 2019, Australian DH, 2019, China Department of Maternal and Child Health, 2017


5 comments:

  1. Bagus sekarang banyak didedahkan bab penyusuan ni, jauh beza masa mula dulu Sis beranak satu, nak susukan anak pun menyorok-yorok..

    ReplyDelete
  2. bab penyusuan ni bagus didedahkan lebih banyak. Ramai ibu2 yg tak tahu sebenarnya bagusnya kepentingan penyusuan ni.. nice sharing

    ReplyDelete
  3. full bf anak nombor 3 je...itupun tak sampai 2 tahun..setahun 3 bulan dapat adik kembar...berebut 3 orang..lama lama dia mengalah. kiri kanan adik kembar conquer.

    ReplyDelete
  4. selamat menyambut minggu penyusuan badan...ehh, betul ke ucapan ni..hahahahha

    ReplyDelete